IPOH, 18 November - Bekas Penolong Jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah menipu dengan menyembunyikan kepentingan dalam proses penilaian tender.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi turut memerintahkan tertuduh, Zamhuri Ahmad Shatiry, 51 tahun dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Zamhuri membantu sebuah syarikat menyediakan Bill of Quantities serta harga terperinci bagi Tender Projek ABC bernilai RM4.33 juta, ketika beliau bertugas sebagai setiausaha penilaian tender tanpa membuat sebarang pengisytiharan hubungan kepentingan.
Tender itu kemudiannya diberikan kepada syarikat berkenaan, manakala Zamhuri turut menerima habuan barangan bernilai RM140,000 pada penghujung 2018.
Kesalahan dilakukan bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Zuraime Ramli, 43 tahun didenda RM2,000 selepas didapati bersalah menyeleweng dengan menggunakan dokumen palsu.
Hakim turut memerintahkan beliau dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Siasatan mendapati tertuduh telah menyediakan dan memperakui Sijil Akuan Penerimaan bagi kerja penyelenggaraan ICT bernilai RM25,000 sedangkan tiada pembekalan sebenar dijalankan.
SPRM turut menemukan pembayaran RM24,800 kepada sebuah syarikat pembekal sebelum jumlah itu disita kerana dipercayai berkaitan transaksi dokumen palsu berkenaan.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nanthini Gunasegaran dan Mohd Afiq Mohd Adnan.
Bekas penolong jurutera TNB didenda RM150,000
powered by social2s