fb fb fb fb fb

Cubaan seludup hampir 7 kg dadah gagal, warga asing didakwa

Foto JKDM

KUALA LUMPUR, 17 November – Jabatan Kastam berjaya menggagalkan cubaan menyeludup hampir 7 kilogram (kg) dadah jenis Ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terminal 2.

Jabatan Kastam dalam kenyataan memaklumkan, barang terlarang itu dirampas selepas pihaknya bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan seorang warga China setelah imbasan bagasinya mencurigakan pada 28 Oktober lalu.

"Hasil pemeriksaan, beberapa bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk disyaki dadah ditemui dalam dua beg yang tersorok di ruang simpanan rahsia," jelas kenyataan itu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tertuduh telah didakwa di mahkamah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

Jabatan Kastam menyeru orang awam untuk bekerjasama memerangi penyeludupan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN