KOTA BHARU, 19 Ogos-Seorang bekas banduan didakwa atas empat pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan memberikan sokongan kepada kumpulan itu.
Tertuduh, Nik Mohd Shalahuddin Zakaria, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa memiliki beribu keping gambar, video dan ratusan artikel bentuk format dokumen mudah alih (PDF) berkaitan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas IS.
Pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook.
Manakala pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mengaku keahlian kumpulan IS.
Mahkamah menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula.