fb fb fb fb fb

Waran tangkap dikeluarkan terhadap OKS dera anjing

Anjing baka Husky dipercayai didera di sebuah kondominium di Kajang

PUTRAJAYA, 19 Ogos- Mahkamah Sesyen Kajang mengeluarkan waran tangkap ke atas Orang Kena Saman (OKS) hari ini berikutan kes dera anjing baka Husky di Kondominium Landmark Residence 1, Kajang baru-baru ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam satu kenyataan berkata, waran tangkap tersebut dikeluarkan susulan OKS berkenaan gagal hadir ke mahkamah bagi sebutan kes hari ini dan hanya diwakilkan oleh peguamnya.

Sebutan baharu bagi kes berkenaan ditetapkan pada 30 Ogos depan pukul 9.00 pagi.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini sehingga kes ini selesai dibicarakan dan mendapat keputusan mahkamah," katanya.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan seorang lelaki dipercayai mendera anjing baka Husky di sebuah kondominium di Kajang.

Susulan itu, DVS telah melakukan siasatan bawah perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), dan sekiranya didapati bersalah, individu terlibat boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI