fb fb fb fb fb

Bebola mata dikorek warga asing, mangsa mungkin cacat kekal

Hamzah Ahmad

GEORGE TOWN, 18 November- Seorang lelaki tempatan berkemungkinan mengalami kecacatan kekal selepas kehilangan bebola mata kiri dalam satu insiden pergaduhan di tepi jalan Flat Rathina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata mangsa, 52, yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Jelasnya pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek, 28, yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu berlarutan hingga ke tindakan agresif yang menyebabkan kecederaan serius pada mangsa.

"Mangsa dikatakan ada beberapa rekod jenayah. (Dalam pergaduhan itu) memang mata kiri mangsa (dikorek) keluar daripada kelopak mata, mungkin dia akan cacat kekal," katanya sambil memberitahu suspek kini direman sehingga Rabu ini untuk siasatan bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Beliau ditemui pemberita pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Hamzah turut menegaskan bahawa tiada perlindungan bagi pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam jenayah termasuk penagihan dadah.

Katanya, enam anggota PDRM di Pulau Pinang didapati terlibat dalam kes dadah tahun ini dan beliau mengingatkan pasukan untuk mengekalkan integriti.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menyatakan rasa kecewa dengan tahap integriti dalam pasukan susulan 22 pegawai dikesan terlibat dalam jenayah komersial tahun lalu.

SITI AISHAH MD ISA