SETIU, 18 November - Sejumlah 200 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM6 juta ditemukan dalam sebuah kenderaan mewah di Kampung Guntong Luar, di sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kenderaan terbabit disyaki membawa dadah.
Sepasukan Unit Kereta Peronda Setiu mengesan kenderaan mewah itu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bintang, sebelum bertindak mengekorinya.
Bagaimanapun, kenderaan terbabit berjaya lolos sebelum ia ditemukan terbabas di Kampung Guntong Luar.
Suspek disyaki lebih daripada seorang individu telah melarikan diri dan meninggalkan kenderaan tersebut di lokasi.
Pemeriksaan menemukan lapan guni paket lutsinar mengandungi syabu yang boleh digunakan seramai 200,000 penagih.
Polis kini sedang giat memburu kesemua suspek, kata Mohd Khairi menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu.
Rampasan dadah itu merupakan yang terbesar di negeri berkenaan bagi tahun ini.
Bekalan dadah terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.