fb fb fb fb fb

Bayi perempuan baru lahir ditemukan dalam besen berhampiran tong sampah

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris

IPOH, 15 Ogos - Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat di dalam sebuah besen berhampiran tong sampah di Pekan Titi Serong, Parit Buntar, pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada orang awam selepas terdengar tangisan bayi ketika melalui kawasan tersebut.

"Tiada saksi awam yang tahu akan kejadian ini dan tindakan yang akan kita ambil adalah kita akan rakam percakapan saksi-saksi dan akan melihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar bayi itu ditemukan.

"Kita juga akan melancarkan pengesanan melalui kaedah saintifik genetik untuk menentukan bayi tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini.

Bayi seberat 2.1 kilogram itu kini ditempatkan di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kerian dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN