fb fb fb fb fb

Banduan warga Iran ditahan miliki dadah dalam penjara

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menunjukkan dadah yang dirampas selepas penahanan seorang banduan warga Iran di Penjara Tapah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

IPOH, 15 Ogos- Seorang banduan lelaki warganegara Iran ditahan kerana memiliki dadah di Penjara Tapah, tengahari semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata kejadian berlaku ketika pegawai penjara menjalankan rondaan di Dewan Penjara Tapah di sini yang melihat banduan berkenaan duduk bersendirian menghadap dinding dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata ketika pegawai tersebut menghampiri suspek berusia 39 tahun semasa dilihat mengambil sesuatu dari poket seluar dan mencampakkan satu bungkusan plastik berwarna merah di atas lantai.

"Pegawai penjara itu kemudiannya memeriksa plastik tersebut dan menemui dua peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna kuning seberat 46 gram serta satu peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna merah jambu dengan anggaran berat 30 gram yang masing-masing disyaki dadah jenis heroin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perak di sini, hari ini.

Menurut Azizi, nilai rampasan keseluruhan dadah ini dianggarkan berjumlah RM1,900 dan dipercayai boleh digunakan untuk seramai kira-kira 50 orang penagih dadah.

Ujarnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.

Beliau turut memaklumkan banduan tersebut telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen sama serta dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun, malah berada di Penjara Tapah sejak tahun 2018.

Menurutnya, banduan terbabit turut memiliki 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan empat lagi rekod bagi kes jenayah yang lain.

Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun dan mempunyai 14 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah

Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron di penjara sama, Azizi berkata ketika ini proses merakam percakapan beberapa saksi sedang dilakukan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI