fb fb fb fb fb

Anggota tentera maut terkena tembakan

Gambar hiasan

SARAWAK, 23 September - Tentera Darat Malaysia mengesahkan seorang anggotanya maut akibat terkena tembakan yang tidak dikenal pasti dalam kejadian di Song awal pagi tadi.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan memaklumkan ketika kejadian anggota tersebut sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Song.

"Dalam kejadian sekitar pukul 2.45 pagi anggota terbabit sedang berehat dan platun telah mendengar bunyi motosikal melalui jalan balak berdekatan lokasi mereka sebelum bunyi tembakan kedengaran yang dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan."

"Curiga dengan tembakan itu, mereka telah melakukan pemeriksaan serta merta dan mendapati seorang anggota cedera dipercayai terkena tembakan," jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menyatakan anggota terbabit telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada pukul 4.00 pagi dan telah dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun anggota berkenaan disahkan meninggal dunia pada 7.43 pagi. Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan," jelas kenyataan tersebut.

Trainee2