fb fb fb fb fb

Helaian janggut antara barang dirampas di rumah pengurusan tertinggi GISBH

Antara barang yang dirampas PDRM menerusi Op Global

KUALA LUMPUR, 23 September - Helaian janggut yang disimpan di dalam bekas khas adalah antara barang yang dirampas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan Op Global fasa empat di sebuah rumah milik pengurusan tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Rawang, Sabtu lepas.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain turut dirampas 455 risalah dan logo berkaitan yang kemudian diserah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tindakan lanjut.

"Helaian janggut, buku dan risalah ini didapati bertentangan dengan ajaran Islam dan dipercayai mempunyai kaitan dengan tarekat Aurad Muhammadiyah dan kumpulan Al-Arqam yang telah difatwakan haram pada 1994," katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu PDRM telah membuka kertas siasatan berhubung ugutan terhadap Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi aplikasi WhatsApp berkait isu organisasi terbabit.

Jelasnya Mohd Asri dilaporkan menerima mesej daripada nombor tidak dikenali menyatakan perniagaan milik GISBH tidak dapat ditandingi di negara ini namun perkara itu tidak dilayan menyebabkan pengirim menghantar mesej berbentuk provokasi dan ugutan termasuk perkataan kafir harbi.

“Mohd Asri percaya pesanan WhatApps yang diterima menjurus kepada ugutan jenayah kerana maksud kafir harbi (kafir yang boleh diperangi) adalah menghalalkan darah.

"Susulan itu, beliau tampil membuat laporan di Balai Polis Kangar untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Sejak Op Global fasa pertama pada awal September lepas, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, 572 mangsa diselamatkan manakala tujuh dihadapkan ke mahkamah atas 29 pertuduhan. - BERNAMA

Trainee2