fb fb fb fb fb

Ahli GISBH didapati masih amal Tarekat Aurad Muhammadiyah - KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR, 23 September - Ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah, iaitu amalan ahli kumpulan Al-Arqam yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam, demikian menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata ia susulan rampasan 455 naskah, risalah dan logo menerusi Op Global yang dijalankan di premis-premis GISBH yang telah dirujuk kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Terdapat barangan yang disyaki bertentangan dengan ajaran Islam dan berkait dengan ajaran Aurad Muhammadiyah yang telah diharamkan pada 1986 serta dimulakan oleh Al- arqam yang telah difatwakan sesat pada tahun 1994," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau memaklumkan siasatan polis terhadap GISBH kini menjurus kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan akan menggunakan seluruh peruntukan serta undang-undang sedia ada termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu sebanyak 153 akaun berkaitan GISBH telah dibekukan membabitkan wang berjumlah lebih RM800,000 setakat ini.

"Manakala sebanyak 22 buah motokar pelbagai jenis bernilai anggaran RM1,872,085.00 telah disita. Kita percaya sistem sokongan mereka telah musnah berikutan aset-aset dan akaun syarikat ini telah dibekukan menerusi Op Global," katanya.

Razarudin pada masa sama menyeru ahli GISBH yang melarikan diri susulan Op Global supaya tampil kepada pihak berkuasa agar bantuan sewajarnya dalam pelbagai bentuk termasuk kebajikan dan sokongan psikologi dapat diberikan.

Trainee2