fb fb fb fb fb

Aktif samun bersenjata di Lembah Klang dan Bentong, Geng Heri tumpas

FOTO RTM

BENTONG, 17 Disember- Polis Pahang melumpuhkan kumpulan samun bersenjata yang aktif melakukan jenayah itu di Lembah Klang dan Bentong, Pahang.

Lima ahli kumpulan bergelar 'Geng Heri' itu ditahan dalam operasi yang dilaksanakan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada 8 hingga 15 Disember lalu.

Semua suspek berusia antara 27 hingga 34 tahun itu ditahan dalam siri serbuan di Gombak, Selangor dan Setapak, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi ahli kumpulan itu, Mohamad Faizal Supardi, 32, yang lebih dikenali dengan panggilan 'Peja'.

Operasi memburu suspek dilakukan susulan laporan polis dibuat mangsa pada 29 Oktober lalu.

Mangsa dalam kejadian itu adalah warga asing dan pemilik kedai runcit di Bukit Tinggi, dekat Bentong.

Dalam kes samun sekitar pukul 1.45 pagi itu, mangsa mendakwa didatangi sekumpulan lelaki bersenjata parang dan besi yang menyamun kedai miliknya, mengakibatkan kerugian RM9,500.

Kumpulan itu menggunakan modus operandi menyamar sebagai anggota polis dan menyasarkan warga asing sebagai mangsa jenayah mereka.

"Ujian urin ke atas semua suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah dan hasil daripada siasatan didapati Geng Hery ini telibat dalam kes samun yang disiasat selain daripada tu mereka juga terlibat dalam kes memiliki senjata api iaitu dua pucuk pistol yang dirampas dan dipercayai diperolehi dari negara jiran," katanya.

Beliau berkata demikian padasidang media di IPD Bentong, Pahang.

Yahaya memberitahu, pihaknya berjaya merampas tiga pucuk pistol dan 62 butir peluru pelbagai jenis.

Katanya, satu daripada pistol itu adalah jenis 'airsoft' manakala dua lagi jenis Pietro Beretta dan CZ 75D Compact yang dipercayai diperoleh dari negara jiran.

Selain itu, polis turut merampas tiga bilah kerambit, sebilah pisau dan sebuah motosikal jenis Yamaha.

Ujian air kencing dijalankan terhadap lima suspek itu mendapati empat daripadanya positif dadah jenis Amphetamine.

Semua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kes jenayah lain dan direman sehingga hari ini dan Jumaat ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE