GEORGE TOWN, 17 Disember- Dua pekerja Telekom Malaysia (TM) antara lapan ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti mencuri kabel di Tanjung Bungah, George Town, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad berkata aktiviti itu dikesan semasa suspek melakukan kerja-kerja pemotongan kabel.
Polis kemudiannya meminta pengesahan kebenaran menjalankan kerja yang dikeluarkan pihak TM.
Bagaimanapun, hasil semakan mendapati aktiviti itu tidak mendapat sebarang pengesahan.
"Semasa pemeriksaan dijalankan suspek telah menunjukkan borang pesanan kerja yang telah dibuat pihak TM tapi pegawai dan anggota saya curiga dengan keaslian borang ditunjukkan, jadi polis melakukan pengesahan dengan wakil dari pihak TM dan mereka mengesahkan tiada kebenaran melakukan kerja-kerja pemotongan kabel dikeluarkan pihak TM di kawasan tersebut," katanya.
Jelas Abdul Rozak, susulan itu, sebanyak 242 batang kabel dirampas dalam insiden, berlaku pagi tadi.
Beliau mendedahkan perkara itu dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Kejadian, melibatkan kerugian kira-kira RM100,000.
Empat daripada suspek berusia 31 hingga 42 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ketum.
Turut dirampas; dua buah lori, sebuah pacuan empat roda dan van serta pelbagai peralatan digunakan untuk mencuri kabel.
Kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.