fb fb fb fb fb

Dakwa konon bakal berkahwin dengan TMP, polis kesan Faridah Daud

FOTO HIASAN

BENTONG, 17 Disember- Polis sudah mengambil keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang wanita yang mendakwa kononnya akan melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua individu berkenaan di panggil pada Ahad lepas bagi membantu siasatan susulan hantaran yang dimuat naik di Instagram oleh pengguna bernama Faridah Daud.

"Kertas siasatan kita buka bawah Seksyen 500 dan juga Seksyen 233, jadi kita sedang mengesan profiling suspek dan kita juga meminta kerjasama daripada pihak-pihak yang mengenali Faridah ini untuk dapat memberi bantuan kesan dan seterusnya untuk kita buat siasatan," katanya.

Namun katanya, pihak polis masih giat mengesan wanita berkenaan dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat dalam usaha mempercepatkan lagi proses siasatan.

Beliau berkata selepas sidang media kejayaan tangkapan Kumpulan Samun 'Geng Heri' di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di Pahang .

Selasa lepas Istana Pahang menafikan satu hantaran tular mengenai perkahwinan diraja melibatkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita, yang kononnya akan berlangsung pada April tahun depan.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya dilaporkan berkata. hantaran yang dimuat naik pengguna platform Instagram dengan nama Faridah Daud itu menyaksikan wanita berkenaan menerangkan majlis perkahwinannya bersama Tengku Hassanal.

Menurut hantaran pada cerita Instagram berkenaan, wanita itu mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE