fb fb fb fb fb

Ahli perniagaan terpedaya skim pelaburan palsu, rugi RM570,000

MIRI, 13 September - Hasrat seorang ahli perniagaan tempatan untuk menggandakan keuntungan menerusi pelaburan saham bertukar mimpi ngeri apabila beliau kerugian lebih RM500,000.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa berusia lewat 50-an membuat laporan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil semalam.

Menurutnya, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan saham melalui media sosial pada awal Jun lalu sebelum menghubungi seorang individu tidak dikenali.

“Mangsa ditawarkan skim pelaburan dikenali sebagai Chief INV yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Tertarik dengan tawaran itu, mangsa membuat beberapa transaksi berjumlah kira-kira RM570,000 ke dalam akaun bank diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan dijanjikan, malah suspek turut meminta bayaran tambahan kononnya bagi membolehkan wang tersebut dikeluarkan.

“Sehingga laporan polis dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan. Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Mohd Farhan turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, serta menyemak syarikat atau laman web mencurigakan melalui portal rasmi Bank Negara Malaysia (semakmule.rmp.gov.my/bnm) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (sc.com.my).

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI