JOHOR BAHRU, 6 Mei- Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah melebihi 10 kilogram di Kluang, dua minggu lalu.
Tertuduh, Yean Wei Zhen, 34, mengangguk faham selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis serbuk MDMA seberat 9.909 kilogram di Taman Mengkibol, Kluang, pada 23 April lalu.
Yean Wei turut berdepan dua lagi pertuduhan memiliki 185.80 gram ketamin dan 78.30 gram nimetazepam di lokasi dan tarikh yang sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu, mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.