fb fb fb fb fb

9,799 notis kesalahan merokok dikeluarkan di Johor, kompaun RM2.36 juta

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 31 Oktober - Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengeluarkan 9,799 notis berkaitan kesalahan merokok, sejak Januari hingga September lalu. 

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata, nilai kompaun hingga RM2.36 juta turut direkodkan sepanjang tempoh berkenaan. 

Sebanyak 9,371 notis dikeluarkan bagi kesalahan merokok di tempat larangan, sementara 428 lagi notis bagi kesalahan perokok belum dewasa. 

Penguatkuasaan turut dikenakan terhadap pengguna rokok elektronik atau vape yang kian menular dalam kalangan remaja. 

"Dalam negeri Johor tidak ada satu pun lesen kebenaran untuk menjual vape dikeluarkan. Oleh itu sesiapa yang ada maklumat tersebut sila laporkan kepada yang pertamanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor atau kepada pihak berkuasa tempatan di setiap lokasi dan kami akan mengambil tindakan sewajarnya," kata Ling Tian Soon.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852, di sini.

Dalam pada itu, sebanyak 4,275 premis di negeri itu diperiksa sejak Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan 1 Oktober lalu. 

Ia melibatkan 415 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya promosi produk-produk rokok secara terbuka dan penjualan rokok kepada orang belum dewasa. 

TETITIA YUSOFF