KANGAR, 2 Mei- Pihak Polis merampas sebanyak 409 ketulan ganja mampat dianggarkan bernilai RM1.267 juta hasil risikan dan maklumat orang awam.
Kesemua ganja berkenaan ditemukan di dalam kotak di atas sebuah bot yang ditinggalkan di muara Kuala Sungai Baru Simpang Empat, Perlis.
Ketua Polis Perlis Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya menjalankan intipan selama dua jam kemudian melakukan pemeriksaan ke atas bot fiber berkenaan.
"Pasukan petugas khas pihak polis mendapati terdapat 24 kotak yang dipenuhi dengan ketulan-ketulan ini. Pemeriksaan lanjut mendapati ketulan-ketulan tersebut merupakan 409 ketulan dengan setiap satu ketulan adalah seberat satu kilogram," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini.
Rampasan kali ini merupakan rampasan ganja terbesar pada tahun ini di negeri Perlis.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati ataupun penjara seumur hidup dan juga sebatan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati.