KUALA LUMPUR, 2 Mei- Kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menurunkan kadar sumbangan untuk sambungan ke pembetung awam yang dikenakan kepada pemaju, bermula 1 Mac 2025.
SPAN dalam satu kenyataan memaklumkan, sebelum ini kadar sumbangan ditetapkan secara pukal sebanyak satu peratus daripada harga jualan.
Langkah itu dijangka dapat membantu mengurangkan harga jualan rumah dan bakal memudahkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.
"Bagi harga jualan rumah tidak melebihi RM80,000, kadar sumbangan yang ditetapkan adalah RM1,000 bagi setiap projek.
"Manakala, harga jualan rumah lebih daripada RM80,000 hingga RM150,000, kadar sumbangan adalah 0.25 peratus daripada harga jualan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu bagi projek kerajaan, bayaran diselaraskan kepada kadar tetap RM900 bagi setiap penduduk setara, berbanding satu peratus daripada kos kontrak setiap unit sebelum ini.
Perkara itu bagi memastikan perubahan kos kontrak tidak lagi mempengaruhi kadar bayaran.
Kadar khas turut diperkenalkan untuk kategori bangunan tertentu seperti rumah ibadat yang mana kadar sumbangan RM100 bagi semua bangunan yang dibina dalam suatu projek.
"Bagi bangunan kebajikan dan komuniti, kadar sumbangan yang ditetapkan masing-masing ialah RM100 bagi setiap bangunan.
"Meskipun kerajaan menjangka penurunan hasil kutipan sebanyak 15 peratus, pindaan berkenaan dijangka bakal menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik," tambah kenyataan itu.