PUTRAJAYA, 2 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta merampas 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta.
"Berdasarkan maklumat baharu dan hasil risikan, SPRM telah menahan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah bekas Perdana Menteri tersebut.
"Susulan daripada siasatan lanjut terhadap keempat-empat individu berkenaan, SPRM telah menjalankan pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai safehouse," menurut kenyataan agensi antirasuah itu pada Ahad.
Tambahnya lagi, siasatan juga tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ismail Sabri menerajui negara.
"Kes ini dikendalikan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.
Sehubungan itu, Ismail Sabri telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta pada 11 Disember 2024, yang kemudian dilaksanakan secara rasmi pada 10 Februari tahun ini.
Bekas Perdana Menteri itu juga telah hadir ke ibu pejabat SPRM pada 19 Februari lalu untuk memberikan keterangan dan tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, hampir 10 saksi telah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat.
SPRM menegaskan bahawa siasatan ini dijalankan secara bebas, profesional dan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
"SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara," tambah kenyataan itu.