fb fb fb fb fb

JKDM Kelantan rampas 3.2 juta batang rokok seludup bernilai RM2.9 juta

Foto RTM

KOTA BHARU, 2 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas lebih 3.2 juta batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan termasuk cukai sebanyak RM2.9 juta dalam satu serbuan di Kampung Peringat, di sini pada 19 Februari lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 11:30 malam, pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu turut merampas sebuah kenderaan mewah Toyota Vellfire yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

Menurut Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, serbuan ke atas rumah tersebut turut menemui lebih 3.1 juta batang rokok, bersamaan 320 peti, yang disimpan di dalam premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan Toyota Vellfire yang berada di lokasi turut menemui 30,000 batang rokok seludup yang disembunyikan di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu.

Beliau turut menjelaskan bahawa sindiket tersebut menggunakan rumah sewa sebagai tempat penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.

JKDM Kelantan menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan kerugian besar kepada negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD