ALOR SETAR, 3 Mac- Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai membunuh ibunya dengan membakar mangsa dalam kejadian amuk di rumah mereka di sebuah kampung di Jalan Tok Keling, Alor Setar, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Siti Nor Salawati Saad, dalam satu kenyataan berkata suspek yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental, ditahan di hadapan rumahnya.
Sementara ibu suspek yang berusia 68 tahun ditemukan mati dalam keadaan terbakar di dalam rumah tersebut.
"Pihak polis menemukan satu mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah, dipercayai mangsa telah dibunuh.
"Hasil siasatan awal berdasarkan keterangan saksi, iaitu anak suspek yang berusia 14 tahun dan tinggal di rumah yang sama, mendapati bahawa kejadian berlaku antara pukul 7.00 hingga 7.30 pagi.
"Saksi mendengar pertengkaran antara ayahnya (suspek) dengan si mati, yang merupakan neneknya.
"Sebaik sahaja mendengar jeritan neneknya meminta tolong, saksi keluar dari bilik dan melarikan diri ke luar rumah untuk mendapatkan bantuan daripada jiran berdekatan.
"Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku, namun mereka diancam oleh suspek, menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Sebaik polis tiba, lelaki tersebut berjaya ditahan," katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat.