KLANG, 19 Mei – Sebanyak 354 buah kontena disyaki mengandungi sisa plastik dan sisa elektronik (e-waste) yang diseludup masuk secara haram telah ditahan di Pelabuhan Klang sejak 14 Mac lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penahanan dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas menerima maklumat daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Kebanyakan sisa plastik dan e-waste ini datang daripada Amerika Syarikat dan Jepun tetapi ada juga daripada negara-negara lain,” katanya dalam sidang media selepas membuat pemeriksaan ke atas dua kontena di Pelabuhan Klang Utara, di sini.
Menurut beliau, pemeriksaan akan diteruskan ke atas baki kontena yang masih belum diperiksa dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa dan teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), serta SIRIM Berhad bersama-sama dengan JKDM.
Nik Nazmi turut memaklumkan bahawa langkah penguatkuasaan akan diperhebat khususnya di pintu masuk negara seperti Pelabuhan Klang bagi mengekang kemasukan sisa haram yang boleh mengancam alam sekitar.
“Kita dalam perbincangan awal. JAS akan meningkatkan pemeriksaan di Pelabuhan Klang untuk menangani masalah ini dengan lebih berkesan,” katanya.
“Kita juga akan melihat bagaimana untuk menambah baik lagi usaha untuk membanteras gejala ini,” tambah beliau.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 122 kontena daripada 1,799 ditahan dan disahkan membawa sisa elektronik bagi tempoh Januari sehingga 13 Mei lepas.
Siasatan lanjut mendapati pengimport terbabit membuat pengisytiharan palsu mengenai kandungan kontena.
Susulan itu, sebanyak 119 Notis Arahan telah dikeluarkan kepada syarikat pengimport terbabit di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi tujuan pemulangan semula kontena ke negara asal.