fb fb fb fb fb

3 kaki dadah dicekup, 10 biji pil yaba dirampas di Tumpat

Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan dua serbuan berasingan menerusi Op Taring Wawasan pada Jumaat lalu/Foto Facebook PGA

KOTA BAHRU, 13 Julai - Tiga lelaki tempatan ditahan manakala 10 biji pil yaba dirampas dalam dua serbuan berasingan oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan di sekitar kawasan Tumpat, pada Jumaat lalu.

Dalam operasi pertama bermula pukul 6.30 petang hingga 8.10 malam, tiga lelaki berusia antara 34 hingga 40 tahun diberkas di sekitar Kampung Naga Ibu dan Kampung Kubang Sawa, Cabang Empat, selepas disyaki terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu.

“Kesemua mereka diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pukul 4.50 petang di belakang Sekolah Kebangsaan di sini, PGA berjaya mengesan sebuah kereta mencurigakan yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

Bagaimanapun, pemandu terbabit meninggalkan kenderaan di hadapan sebuah rumah dan melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 10 biji pil yaba yang disembunyikan dalam kotak rokok di dalam kenderaan itu. Siasatan juga mendapati kereta terbabit telah dijual tetapi pemilik baharu belum membuat pertukaran nama,” katanya.

Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Tumpat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

GRACE AISYAH KEDAYAN