fb fb fb fb fb

22 warga asing ditahan Imigresen Kedah dalam serbuan sekitar Kulim

Operasi menyasarkan lokasi-lokasi yang dipercayai menjadi tempat penempatan serta lokasi pekerjaan bagi pendatang asing tanpa izin

KULIM, 8 Julai- Seramai 22 warga asing pelbagai warganegara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar kawasan Junjong, Kulim, atas pelbagai kesalahan imigresen.

Operasi yang dikenali sebagai Ops Selera, Ops Mahir, dan Ops Sapu itu menyasarkan lokasi-lokasi yang dipercayai menjadi tempat penempatan serta lokasi pekerjaan bagi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurut Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, serbuan dijalankan ke atas tiga premis, melibatkan pemeriksaan terhadap 27 individu, yang menyaksikan 22 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Di premis pertama, yang merupakan sebuah premis menjual durian popular di kawasan Junjong, seramai 14 warga Myanmar ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah, manakala seorang lagi ditahan kerana menyalahgunakan PLKS,” katanya.

Tambah beliau, di premis kedua, tiga lagi warga Myanmar ditahan atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, manakala di premis ketiga, seorang warga Pakistan ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah, dan tiga lagi warga Pakistan disyaki menyalahgunakan PLKS.

Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Belantik bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.

Pemeriksaan turut mendedahkan bahawa sebahagian premis yang diserbu disalah guna sebagai tempat perlindungan PATI secara tetap, meskipun beroperasi sebagai premis perniagaan sah.

Mohd Ridzzuan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI dan menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa demi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE