fb fb fb fb fb

11 individu ditahan terlibat jenayah harta benda dan kekerasan di Kuching

FOTO Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching

KUCHING, 8 Julai- Seramai 11 individu termasuk seorang wanita tempatan ditahan polis atas pelbagai kes jenayah harta benda dan kekerasan yang berlaku di sekitar Daerah Kuching sepanjang minggu lalu.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerusi hantaran di Facebook rasmi, kesemua suspek yang berusia antara 18 hingga 52 tahun itu ditahan menerusi beberapa siri operasi dijalankan pasukan polis.

Tangkapan tersebut telah berjaya membantu menyelesaikan tujuh kes jenayah berasingan, antaranya melibatkan kes pecah rumah dan kedai di kawasan Gita, Sentral dan Tabuan Jaya.

“Selain itu, tangkapan turut melibatkan kes curi kenderaan dan motosikal di kawasan Satok serta Tabuan Jaya, kes rogol di kawasan Jalan Green Kuching, serta kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata di salah sebuah perkampungan di Petra Jaya,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, pihak polis turut menahan seorang suspek yang merupakan individu dikehendaki bagi membantu siasatan kes keganasan rumah tangga di kawasan Jalan Menggris.

Kesemua suspek kini dalam tahanan bagi siasatan lanjut mengikut kesalahan masing-masing.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE