fb fb fb fb fb

SPRM mohon lucut hak wang lebih RM169 juta milik Ismail Sabri

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR, 7 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya selaku pemohon memfailkan permohonan itu hari ini di Mahkamah Sesyen di sini dengan menamakan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus dan Ismail Sabri sebagai responden pertama serta kedua.

Selain Ringgit Malaysia berjumlah lebih RM14 juta, wang tunai itu turut membabitkan jutaan dolar dalam pelbagai mata wang asing.

SPRM memohon perintah mahkamah untuk melucut hak wang berkenaan yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.

Wang yang dimohon untuk dilucut hak ialah RM14,772,150; SGD6,132,350 (Dolar Singapura); USD1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP50,250; NZD44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 selepas berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.

SPRM turut memohon perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 3 Julai lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media berkata agensi antirasuah itu akan memohon kepada mahkamah untuk melucutkan harta yang dirampas berjumlah RM170 juta.

Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN