fb fb fb fb fb

2 individu didakwa perdagang manusia untuk eksploitasi kerja

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 10 April- Seorang penganggur dan seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga lelaki bagi tujuan eksploitasi kerja, membabitkan kejadian di Johor Bahru dan Myanmar antara Disember 2024 hingga Februari lalu.

Tertuduh, Jasper Yap En Wai, 20, dan Desmond Ang Whei Cheng, 18, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama memperdagangkan dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara memperdaya mangsa untuk bekerja di sebuah restoran di Taman Maju Jaya, Johor Bahru.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara awal Disember 2024 hingga 14 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Jasper Yap turut berdepan satu lagi pertuduhan memperdagangkan seorang lelaki berumur 21 tahun bagi tujuan eksploitasi kerja secara penipuan di Shwekkoko, Myanmar, antara 7 hingga 14 Februari lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Kodesviary, manakala Desmond Ang diwakili peguam Mohammad Muzzamil Mohammad Hairiri.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM24,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Jasper Yap, manakala Desmond Ang dikenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta pelantikan peguam oleh Jasper Yap.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE