KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk empat kanak-kanak berusia antara enam hingga 58 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di negeri ini malam tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor, berkata operasi bersepadu itu melibatkan pemeriksaan terhadap 142 PATI di 11 lokasi sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus, dan Marang.
"Seramai 13 PATI yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita serta empat kanak-kanak membabitkan warga Thailand, Bangladesh, dan Kemboja.
"Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, tiada dokumen perjalanan sah, serta menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sementara itu, dua warga tempatan berusia antara 30 dan 39 tahun turut diberikan notis hadir ke pejabat JIM negeri untuk siasatan lanjut.