SHAH ALAM, 9 Februari - Seorang lelaki warga tempatan yang memiliki 11 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah kini diburu polis dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek berusia lingkungan 30-an dan berkulit cerah melepaskan beberapa das tembakan terhadap seorang pekerja pembersihan sebelum melarikan diri.
"Siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek, dan identiti penjenayah itu berjaya dikenal pasti dengan cepat hasil risikan polis serta rakaman CCTV di lokasi kejadian.
"Dalam kejadian sekitar pukul 10.50 malam mangsa lewat 30-an, seorang pekerja pembersihan, sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1 sebelum tiba-tiba ditembak empat (4) das, mengenai kaki dan punggungnya.
"Walaupun cedera, mangsa sempat melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan.
“Suspek kemudiannya melarikan diri ke aras P2 dan melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah cermin tingkap tangga serta pintu sliding door sebelum menghilangkan diri,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Siasatan lanjut mendapati suspek turut menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang pengunjung pusat beli-belah tersebut.
"Suspek mengacukan pistol dan memaksa pemandu keluar dari kawasan Shah Alam. Ketika melalui sebuah lebuh raya, suspek telah minta berhenti di tepi jalan dan melarikan diri," tambahnya.
Katanya, setakat ini, polis telah menerima tujuh laporan, termasuk daripada mangsa tembakan dan pemandu kenderaan terbabit, selain saksi awam yang berada di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman mati, serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Polis menyeru orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat agar segera menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 bagi membantu siasatan.
BERITA BERKAITAN
Pekerja pembersihan cedera akibat tembakan di pusat beli-belah Setia Alam