KUBANG PASU, 9 Februari – Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) wargan Myanmar yang dipercayai memasuki negara secara tidak sah melalui sempadan negara jiran.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata, kesemua lelaki berumur antara 19 hingga 48 tahun itu bersembunyi di dalam longkang di jalan utama dari Padang Sanai menuju ke Sintok malam Sabtu.
"Dalam operasi rondaan yang dijalankan pada pukul 7.22 malam semalam. Kejadian berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
"Pasukan operasi segera bertindak menahan kumpulan PATI tersebut bagi mengelakkan mereka meloloskan diri,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Mereka dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah untuk mencari peluang pekerjaan.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah wang tunai serta lapan buah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan anggaran rampasan berjumlah RM5,352.31.
Kesemua PATI diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.