fb fb fb fb fb

10 termasuk pegawai kanan tentera, wartawan direman kes sindiket seludup

10 individu direman kerana disyaki terlibat sindiket penyeludupan di selatan tanah air

PUTRAJAYA, 14 Ogos – Lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan antara 10 individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.

Turut direman seorang pengurus syarikat, pembantu pentadbiran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan seorang wanita warga asing.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, empat lelaki direman tujuh hari sehingga 20 Ogos, dua lelaki dan seorang wanita direman lima hari sehingga 18 Ogos, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman tiga hari sehingga 16 Ogos.

Op Sohor dijalankan Bahagian Perisikan SPRM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu lalu menyaksikan semua suspek berusia 30 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber SPRM, pegawai kanan perisikan tentera dipercayai membocorkan maklumat operasi kepada sindiket bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan.

"Barang seludup yang dibawa masuk terdiri daripada dadah, rokok dan barangan lain dari negara jiran, dengan nilai kira-kira RM5 juta sebulan.

Sindiket dipercayai membayar rasuah RM30,000 hingga RM50,000 setiap kali penyeludupan," menurut sumber SPRM.

Rampasan melibatkan wang tunai lebih RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang, penyukat, minuman keras dan senjata api tiruan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat berkaitan rasuah dan aktiviti penggubahan wang haram.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN