SEPANG, 14 Ogos – Seorang wanita warga China ditahan selepas bertindak agresif dan mencederakan seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7.40 malam ketika wanita itu hadir bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak untuk pemeriksaan perlepasan ke luar negara.
Semakan mendapati tiada rekod kemasukan mereka ke Malaysia, menyebabkan kes dirujuk kepada penyelia untuk siasatan lanjut.
Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), suspek tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.
"Suspek kemudian memaki hamun pegawai dengan kata-kata kesat, menarik tudung pegawai terbabit dan menolak kepalanya ke arah tiang di hadapan kaunter.
Pergelutan kecil berlaku dan suspek masih enggan bertenang walaupun diarahkan. Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dipanggil untuk mengawal keadaan,” menurut kenyataan AKPS.
Laporan polis telah dibuat dan suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
AKPS menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kekerasan, penghinaan atau ancaman terhadap pegawai ketika bertugas dan berharap tindakan tegas diambil.