KUALA LUMPUR, 27 Mac- Kumpulan rock terkenal, Akim & The Majistret, bakal melancarkan single terbaharu mereka berjudul Gasoline pada 30 Mac ini.
Lagu berentak blues rock itu dicipta sepenuhnya oleh kumpulan tersebut dan merupakan sebahagian daripada album terbaharu mereka yang sedang dalam proses pembikinan.
Menurut vokalis, Akim Ahmad, Gasoline membawa mesej mengenai tenaga dan semangat untuk terus maju dalam kehidupan.
"Tajuk Gasoline dipilih kerana ia bukan sekadar merujuk kepada bahan api kenderaan, tetapi juga sebagai simbol tenaga dan motivasi dalam kehidupan.
"Lagu ini mengekalkan identiti muzik mereka tetapi hadir dengan elemen yang lebih segar dan nuansa blues yang berbeza daripada lagu sebelumnya.
"Proses rakaman dilakukan dengan teliti, melibatkan semua ahli kumpulan," katanya menerusi kenyataan.
Akim & The Majistret berharap lagu itu memberi inspirasi kepada pendengar dan mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat muzik tempatan.