(Pengarah konsert, Dr. Fitri Haris)
KUALA LUMPUR, 10 Ogos- Buat julung kalinya, acara zikir berskala besar akan diadakan di pentas berprestij, Zepp Kuala Lumpur pada 16 September depan.
Konsert Mega Zikir Terapi yang berkonsepkan 'kerohanian dan hiburan' itu dianjurkan Niyat Group dan mendapat sokongan Geran Dana Kandungan Digital yang diperuntukkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi MyCreative Ventures.
Ia turut mendapat tajaan utama Cinta Gaza Malaysia dan beberapa rakan strategik dalam memastikan kelancarannya.
Pengarah konsert, Dr. Fitri Haris menerusi kenyataan media berkata objektif utama Konsert Mega Zikir Terapi ialah mengetengahkan alunan zikir secara luas.
Kata beliau alunan dengan mesej yang baik dan murni, diyakini menjadi lebih bermakna terutama kepada pewaris bangsa.
"Kelebihan alunan zikir ini juga satu terapi yang mempunyai kaitan dengan psikoterapi. Penonton akan dibawa ke satu dimensi dan menikmati satu pengalaman luar biasa.
"Saya berharap konsert ini dapat memberi impak dan mencipta momen ketenangan yang menyentuh dan membangkitkan jiwa," jelas Fitri.
(Buat julung kalinya, acara zikir berskala besar akan diadakan
di pentas berprestij, Zepp Kuala Lumpur pada 16 September depan)
Konsert Mega Zikir Terapi akan diiringi persembahan kumpulan Chaan dan Leman Band yang menggabungkan elemen tradisional, moden dan fusion.
Konsert turut mendapat sentuhan Pengarah Susunan Seni Suara, Hafiz Hamidun yang sangat sinonim dengan terapi zikir dan pernah memenangi Anugerah Industri Muzik (AIM) bagi Susunan Vokal Terbaik dalam Lagu.
Walaupun zikir kebiasaannya dianggap berat untuk dipentaskan, orang ramai digalakkan hadir bagi merasai dan menjadi saksi bahawa penggabungan bunyi dan mesej jika dibawa dengan unik dan indah akan memberi pengalaman luar biasa kepada penonton.
Antara artis tanah air yang bakal menjayakan konsert ialah Lan Solo, Zehra Zambri, Aniq Muhai, Dr. Fitri Haris, Hafiz Hamidun, Fedtri Yahya, Ustaz Tarmizi, Ustazah Sofiza dan kumpulan Rabithah.
Jualan tiket yang bermula hari ini (10 Ogos) boleh didapati menerusi laman sesawang http://t2u.asia/e/32067iburan.