SHAH ALAM, 4 November - Penyanyi dan pelakon popular Nabila Razali kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul #BalasBaik, menandakan permulaan era baharu dalam perjalanan seninya selepas berehat seketika bagi memberi tumpuan kepada keluarga.
Karya terbaharu itu bukan sahaja memperlihatkan sisi lebih matang dan tenang Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, malah mencerminkan fasa kehidupannya yang kini lebih berjiwa besar dan positif terhadap dugaan yang dilalui.
“Lagu ini mengingatkan saya bahawa ketenangan datang apabila kita tidak membalas keburukan dengan kebencian, sebaliknya dengan hati yang ikhlas dan tenang. Kalau kita betul-betul amalkan, apabila orang buat jahat kepada kita tetapi kita balas dengan kebaikan, insya-Allah, dunia akan menjadi lebih aman,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, wanita berusia 32 tahun itu berkata lirik seperti “Buat jahat jahat, balas baik” menyerlahkan mesej kekuatan dalaman serta keupayaan untuk berdamai dengan masa lalu tanpa menyimpan dendam, selain menjadi refleksi peribadinya sebagai wanita dan artis yang semakin matang.
“Membalas dengan baik bukan tanda lemah, tapi tanda jiwa yang besar. Itu sebenarnya kuasa sebenar ketenangan. Saya dah sampai fasa di mana saya tak perlu marah untuk tahu siapa yang benar, cukup dengan senyuman untuk kita jaga diri dan tenaga sendiri,” katanya.
Menampilkan gabungan elemen pop moden dan inspirasi trap, #BalasBaik turut memperlihatkan sisi baharu Nabila yang lebih yakin serta berani bereksperimen, namun tetap mengekalkan kelembutan dan identitinya sebagai artis berhijab.
“Saya nak buktikan bahawa wanita berhijab pun boleh bawakan muzik pop moden dengan gaya tersendiri. Hijab bukan batas, tapi inspirasi,” ujarnya.
Bagi memastikan mutu persembahan terbaik, beliau turut menjalani latihan intensif selama sebulan bagi memperkukuh vokal dan stamina pentas.
“Saya harap lagu ini menjadi peringatan bahawa kebaikan tidak pernah ketinggalan zaman. Dunia boleh keras, tapi bila kita kekal lembut dan kuat pada masa yang sama, itulah keindahan sebenar seorang insan,” katanya menutup bicara.
Lagu ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak itu kini boleh didengar di semua platform digital. -BERNAMA