fb fb fb fb fb

Babah dinobat Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34

Filem terbitan Nads Media Entertainment Sdn Bhd menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.

KUALA LUMPUR, 1 November -  Filem arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim, Babah, mencipta kejutan apabila dinobat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri, malam ini.

Filem terbitan Nads Media Entertainment Sdn Bhd itu membawa pulang trofi FFM34 dan geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.

Kemenangan itu sekali gus mengenepikan saingan sengit empat karya lain iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Soloz: Game of Life, Takluk: Lahad Datu dan Reversi.

Anugerah filem terbaik tersebut disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Filem Babah terus mengungguli FFM34 apabila Pelakon Filem Lelaki Terbaik dimenangi oleh Qi Razali manakala Sweet Qismina meraih anugerah Pelakon Filem Wanita Terbaik.

Malam Kemuncak FFM34 juga menyaksikan pengiktirafan Anugerah Khas Sepanjang Zaman kepada seniman Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Bapa Animasi Malaysia, Hassan Muthalib menerima Anugerah Khas Karyawan yang mana kedua-dua mereka menerima pakej umrah bernilai RM10,000 beserta trofi sebagai penghargaan atas sumbangan besar kepada industri kreatif tanah air.

Terdahulu sebanyak 25 kategori dipertandingkan pada Malam Kemuncak FFM34 yang menampilkan gandingan pengacara, Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN