fb fb fb fb fb

Warner Music anjur 'Futureland Festival' di Stadium Merdeka

Konsert 'Futureland Festival'akan berlangsung pada 23 November di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Warner Music Malaysia (WMM) bakal menganjurkan 'Futureland Festival', sebuah konsert yang akan berlangsung pada 23 November depan, di Stadium Merdeka.

WMM dalam kenyataan berkata, festival itu mendapat tajaan utama daripada Watsons Malaysia yang turut meraikan ulang tahun ke-30 mereka di negara ini.

"Acara itu akan menampilkan persembahan artis terkenal Malaysia seperti Hujan, Bunkface, Kugiran Masdo, Aina Abdul, Ayda Jebat, Syamel, Tuju, Zynakal, Fimie Don, Amsyar Lee, Rizal Rasid, Empty Page, dan Fugo, menjadikan festival ini sebagai platform untuk artis tempatan menyinar di pentas utama," menurut kenyataan itu.

Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Teo Nie Ching turut hadir dalam sidang media untuk memberikan sokongan terhadap festival yang diharapkan dapat merangsang industri muzik tempatan.

Selain persembahan muzik, festival tersebut turut menampilkan Watsons Glow Up Zone, yang menawarkan pelbagai aktiviti kesihatan dan kecantikan, hadiah percuma, sampel produk, serta pengalaman interaktif menarik.

Pengunjung juga akan disajikan dengan aktiviti lain seperti pop-up stores dan lukisan grafiti.

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia & Singapura Dinesh Ratnam menyatakan bahawa mereka sangat teruja untuk melancarkan festival ini, yang menggabungkan unsur sejarah dan masa depan muzik Malaysia.

Sementara itu Pengarah Urusan Watsons Malaysia Caryn Loh berkata, kerjasama itu merupakan peluang bagi meraikan muzik dan memberi ganjaran kepada pelanggan Watsons dengan promosi eksklusif.

 

TETITIA YUSOFF