KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Sejumlah RM3.34 juta Skim Dana Padanan MyCreative telah diluluskan dan diberi kepada 35 syarikat yang terpilih oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata tempoh permohonan Skim itu telah tamat setakat Oktober tahun ini dan 292 permohonan telah diterima.
"Jadi ini merupakan inisiatif-inisiatif dibawah My Creative Venture untuk turut membantu artis-artis tempatan supaya karya mereka boleh dinampak bukan sahaja di Malaysia tetapi juga mereka ada peluang untuk dibawa ke persada antarabangsa," katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Media Futureland Festival yang akan diadakan di Stadium Merdeka pada 23 November nanti anjuran Warner Music Malaysia dan Watson.
Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, komited mengembangkan ekosistem industri kreatif negara di samping menyokong bakat tempatan dalam usaha mengangkat muzik tempatan ke persada antarabangsa.
Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik DKK Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa contohnya, memfokuskan penyertaan penggiat dan karya muzik ke pasaran luar negara dan menawarkan geran sehingga RM300,000.
"Sehingga 2 Oktober 2024 sebanyak 17 syarikat produksi muzik telah menerima DKK ini dengan jumlah keseluruhan RM727,815.
"Bagi Dana Kandungan Kreatif tahun ini, 6 program dana menarik ditawarkan kepada para penggiat seni tanah air antaranya Dana Cipta Karya (Muzik Malayseana dan Irama Perpaduan), Dana Persembahan Muzik, Dana Kandungan Aneka Muzik Interaktif, Dana Permata Muzik Negara dan Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa," kata Teo dalam ucapannya.
Sementara itu, Teo Nie Ching juga berharap Stadium Merdeka yang baru dibuka Ogos tahun ini dapat memberi titik baharu kepada komuniti tempatan, khasnya untuk program berkaitan muzik selepas ditutup bagi proses pemulihan.
"Stadium Merdeka ini memang merupakan destinasi ataupun venue untuk konsert seperti artis-artis yang terkenal, Michael Jackson, Justin Bieber dan sebagainya pernah menganjurkan konsert mereka di sini, dan sekarang kita nampak Stadium Merdeka dibuka semula, jadi saya harap ia boleh bawa kemudahan kepada komuniti tempatan dan juga menjadi satu venue yang strategik untuk menganjur pelbagai program. Khasnya untuk lah program program Yang berkaitan dengan muzik,"katanya lagi.
Festival Futureland adalah festival muzik pertama yang akan dianjurkan dan sasaran penganjur adalah lebih daripada 10,000 pengunjung datang ke festival tersebut pada 23 November nanti.