KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Konsert Hitam Manis bakal digamatkan pada awal tahun depan menampilkan tiga penyanyi berkaliber tanah air, Datuk Hattan, Hazama dan Black.
Konsert yang bakal diadakan pada 8 Februari 2025 di Plenary Hall, KLCC itu dijangka menjadi acara muzik yang memukau, menggabungkan elemen nostalgia, rock, dan suara mantap ketiga-tiga bintang ini.
Penganjur konsert berkenaan Reacch Events dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan persembahan berskala besar pertama bagi membuka tirai tahun baharu 2025.
Legenda muzik rock Malaysia, Datuk Hattan bakal membawa semangat rock klasik yang penuh bertenaga.
Beliau juga turut dikenali dengan lagu-lagu ikonik seperti Biso Bonar, Mahligai Syahdu, dan Memburu Rindu.
"Konsert ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menggabungkan elemen muzik yang berbeza dari generasi yang berbeza. Saya yakin peminat akan terhibur dan merasai kelainan dalam setiap persembahan," kata Datuk Hattan.
Sementara itu, bintang yang lahir menerusi program realiti Hazama akan tampil dengan keampuhan vokal serta barisan lagu popularnya.
Kelainan muzik dan memiliki persona tersendiri, Hazama berpendapat konsert itu sebagai bukti perpaduan antara artis pelbagai generasi.
"Saya teruja dapat bersama-sama dengan Datuk Hattan dan Black. Ia satu peluang istimewa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat kami," katanya.
Menurut Black yang juga lahir dari program realiti, konsert berkenaan dijangka akan menarik perhatian pelbagai generasi peminat muzik tanah air.
"Ini bukan hanya sekadar konsert, tetapi satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati peminat dari pelbagai lapisan masyarakat. Kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta kenangan bersama peminat," kata Black.
Konsert Hitam Manis dijangka berlangsung selama dua jam dan menawarkan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet, serta gabungan eksklusif antara Datuk Hattan, Hazama, dan Black.
Tiket Konsert Hitam Manis mula dijual pada 4 Oktober bermula pukul 11.00 pagi secara dalam talian.