LOS ANGELES, 3 Oktober- Salah seorang daripada dua doktor yang didakwa berkaitan dengan kematian akibat lebihan dos membabtikan dadah bintang "Friends," Matthew Perry, mengaku bersalah di mahkamah AS pada hari Rabu.
Mark Chavez, 54, berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas mengakui telah bersubahat membekalkan ketamin kepada Perry beberapa minggu sebelum pelakon tersebut ditemui mati di kolam renang rumahnya di Los Angeles.
Chavez membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Daerah AS Sherilyn Peace Garnett di mahkamah Los Angeles. Chavez menjawab beberapa soalan sebelum mengaku bersalah dengan menyatakan, "Bersalah, Yang Arif."
Perry, terkenal dengan wataknya sebagai Chandler Bing dalam sitkom popular "Friends," bergelut dengan ketagihan dadah selama bertahun-tahun dan kematiannya pada Oktober 2023 mengejutkan peminat sitkom itu di seluruh dunia.
Siasatan jenayah dilancarkan sejurus selepas autopsi menemui paras ketamin yang tinggi dalam sistem badannya. Dua individu yang terlibat dalam kes berkenaan, termasuk pembantu peribadi dan seorang kenalan, telah mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
Seorang doktor bernama Salvador Plasencia didakwa membeli ketamin daripada seorang individu bernama Chavez dan menjualnya kepada Perry dengan harga yang jauh lebih tinggi, dengan sinis berkata, "Saya tertanya-tanya berapa banyak si bodoh ini akan bayar." Selain itu, seorang lagi individu, Jasveen Sangha, yang digelar "Ketamine Queen," didakwa menjual dadah yang menyebabkan kematian Perry.
Sangha dan Plasencia didakwa atas tuduhan konspirasi untuk mengedar ketamin serta beberapa tuduhan lain, yang mereka nafikan. Perbicaraan mereka dijadualkan pada bulan Mac, dan jika didapati bersalah, mereka mungkin berdepan hukuman penjara yang panjang.
Chavez, dalam perjanjian pengakuannya, mengaku menjual ketamin kepada Plasencia, termasuk dos yang telah dialihkan daripada kliniknya. Chavez dibebaskan dengan jaminan AS$50,000 dan lesen perubatannya digantung. Hukuman untuk Chavez dijangka diumum pada bulan April.
Perry terbuka mengenai pergelutannya dengan ketagihan selama bertahun-tahun, dan pada masa kematiannya, dia sedang menjalani terapi dengan ketamin, yang merupakan ubat terkawal yang kadang-kadang digunakan oleh doktor untuk merawat kemurungan.
Meskipun ketamin digunakan secara sah oleh doktor dan doktor haiwan sebagai anestetik, ia juga digunakan secara haram oleh pengguna yang mencari kesan halusinogenik.-AFP