KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Pesta After Race Fest akan berlangsung esok, menyemarakkan suasana energik sempena ulang tahun ke-25 PETRONAS Sepang International Circuit (SIC).
Acara itu bertepatan dengan penganjuran MotoGPTM dan akan diadakan di Helipad, PETRONAS Sepang International Circuit bermula pukul 4.00 petang hingga tengah malam.
Ratu Rock Ella akan memeriahkan Pesta After Race Fest dan diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku semasa acara MotoGPTM.
"Ini adalah penghormatan besar untuk saya, dan saya tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan Smash Mouth, Macklemore serta artis-artis hebat dari Malaysia dan Indonesia," ujar Ella.
Acara itu dijadual bermula dengan segmen Get Started yang menampilkan Feel Koplo dan DE FAM, diikuti oleh Segment Healing dengan persembahan Nidji dan 6ixth Sense.
Kemunculan Ella akan memeriahkan Segment Let's Rock sebelum Smash Mouth mengambil alih pentas.
Macklemore akan menutup acara dengan Segment Solidarity dan beliau dijangka mempersembahkan single terbarunya, 'Hind’s Hall 2', kolaborasi dengan rapper Palestin MC Abdul, Amer Zahr dan penyanyi Amerika, Anees Mokhiber.
Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment, Sean Pereira menyatakan bahawa pemilihan artis-artis yang bakal menghiburkan pengunjung di pesta itu adalah sejajar dengan klimaks penutupan MotoGPTM.
"Kami bukan sahaja menganjurkan hiburan, tetapi juga meraikan pengunjung dari seluruh dunia yang hadir ke MotoGPTM dengan pelbagai aktiviti termasuk pertunjukan drone dan persembahan bunga api," tambah beliau.