KUALA LUMPUR, 1 November - Di sebalik tawa dan lontaran suara ceria setiap kali ke udara, tidak ramai tahu bahawa perjalanan penyampai radio RTM, DJ Sonic Hussien, pernah diwarnai ujian yang mengajarnya erti matang dan reda dalam kerjaya seni suara.
Bagi Sonic Hussien, atau nama sebenarnya Awang Suffian Awang Hussein, 46, satu peristiwa pada tahun 2019 kekal segar dalam ingatan – saat ditipu pihak penganjur sebuah karnival yang berlangsung selama tiga hari di Shah Alam.
"Bayangkan, saya jadi hos dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam selama tempoh itu. Saya menginap di hotel kerana mahu lebih memudahkan urusan kerja. Disebabkan sudah kenal dengan pihak penganjur, saya yakin dan tak minta deposit.
"Tetapi selepas program tamat, janji bayaran dalam tiga hari itu tak ditepati. Bila saya tanya, mesej tidak berbalas dan akhirnya saya disekat," katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau mengakui pengalaman itu akhirnya menjadi titik perubahan besar dalam kerjayanya dan terus mengorak langkah ke hadapan. Pengalaman lalu dijadikan panduan.
"Saya sangat kecewa waktu itu, tapi saya percaya Allah ada perancangan yang lebih besar untuk saya. Sejak kejadian itu, saya tetapkan syarat — penganjur perlu bayar separuh sebelum majlis, dan baki selepas selesai. Itu jadi pengajaran paling mahal," ujarnya tenang.
Matang Hadapi Kecaman
Tidak sekadar diuji dari segi kewangan, Sonic Hussien juga berdepan pelbagai kecaman di media sosial namun kini, beliau lebih tenang dan matang dalam menanganinya.
"Dulu apabila orang kecam, saya cepat melatah dan mudah tersinggung. Ia mengganggu fikiran dan fokus saya, malah saya takut mak dan bapak baca tulisan-tulisan negatif itu. Tapi sekarang, saya lebih matang.
"Apabila orang kecam, saya baca tapi rasa kosong. Mungkin pengalaman terdahulu mendidik saya untuk terus kuat dalam mendepani perkara luar jangka. Saya tahu, apa saja yang mereka tulis, satu hari nanti akan berbalik pada mereka," katanya sambil tersenyum.
Menurutnya lagi, beliau memilih untuk melihat sisi positif dalam setiap komen yang diterima selain mahu menjaga kesihatan mental dan terus fokus.
"Kadang-kadang, kecaman itu pun boleh jadi sesuatu yang baik. Nama kita naik, orang mula kenal siapa kita sebenarnya. Lama-lama, orang akan tahu nilai kita," tambahnya.

Sonic Hussien diberi penghargaan sebagai antara 20 penerima Tokoh Alumni UiTM Sarawak pada 2024
Lebih Ribuan Pentas Sebagai Pengacara
Bermula sebagai penyiar pada tahun 1999, Sonic Hussien kini boleh berbangga apabila lebih ribuan acara telah dikendalikannya sebagai pengacara, termasuk majlis rasmi, hiburan, komuniti dan siaran langsung.
"Kalau nak dikira, semua jenis acara saya dah buat. Majlis berkhatan pun pernah! Tapi dari situ saya belajar bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, belajar mengenal orang dan terus asah diri untuk jadi hos yang lebih baik," jelasnya sambil ketawa kecil.
Beliau menegaskan bahawa setiap acara adalah ruang pembelajaran baharu dan peluang membina keyakinan dengan penganjur.
"Saya kekal belajar. Saya percaya bakat yang Allah beri ini adalah modal saya — modal untuk yakinkan orang bahawa saya mampu mengendalikan apa jua majlis dengan profesional," katanya.
Semangat Tidak Pernah Padam
Kisah jatuh bangun Sonic Hussien bukan sekadar catatan pengalaman, tetapi inspirasi buat generasi baharu yang mahu menapak dalam dunia penyiaran dan pengacaraan.
"Dalam bidang ini, kita bukan sekadar perlu bakat — tapi juga hati yang kuat. Ada masa orang puji, ada masa orang keji. Ada masa kita dibayar tinggi, ada masa ditipu. Tapi kalau kita terus jujur, kerja keras dan ikhlas, insya-Allah rezeki akan datang tanpa disangka," pesan beliau penuh makna.
Semangat dan dedikasi Sonic Hussien, bukan sekadar menggambarkan perjalanan luar biasa seorang penyiar, malah turut menjadi simbol harapan baharu buat warga RTM dalam mencipta detik bersejarah di pentas hiburan tanah air.
Tahun ini, pengemudi segmen Nasional Pagi, 3 Suara di NasionalFM bersama DJ Nazri dan DJ Dyya Nawai itu mara ke peringkat Top 10 bagi kategori Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 37 — satu pengiktirafan yang melambangkan sokongan besar daripada pendengar setia Sonic Hussein di seluruh negara.
Pencalonan kali ini sekali lagi menjadikan Sonic Hussein satu-satunya wakil RTM yang berjaya mara ke peringkat tersebut, sekali gus menjadi pencabar kepada nama-nama besar dunia radio tanah air dalam kategori itu iaitu AG, Cik Piah, DJ Lin, Fara Fauzana, Haiza, Johan, KJ, Radin dan Sharifah Shahirah.
Masihkah ada lagi peluang Sonic Hussien membolosi senarai Top 5 bagi edisi kali ini, sekali gus mencipta sejarah sebagai penyampai RTM pertama merangkul gelaran berprestij itu?
Sama-sama kita nantikan keputusan calon Top 5 Penyampai Radio Popular pada edisi ABPBH37. Undian untuk memberikan sokongan kepada Sonic Hussien boleh dilakukan menerusi pautan https://www.abpbh.com.my/undian/main/penyampai-radio-popular.
BERITA BERKAITAN
- Tuah 'Sonic Hussien' bercakap laju, kini jenama beri impak besar dalam kerjaya
- DJ Sonic bangga dalam top 10 kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 37
- DJ Sonic, sekali lagi bolos dalam 20 Penyampai Radio Popular
- DJ Sonic bersyukur lakukan yang terbaik untuk ABPBH 36
- Tuah berganda, DJ Sonic antara lima Penyampai Radio Popular
- ABPBH 36 : DJ Sonic antara 36 calon terima undi tertinggi