fb fb fb fb fb

Bella Astillah lancar lagu baharu ‘Tapi Bukan Denganmu’

Bella Astillah

KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Penyanyi dan pelakon Bella Astillah terus mewarnai industri hiburan tanah air dengan pelancaran lagu terbaharunya berjudul Tapi Bukan Denganmu.

Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan komposer Sharon Paul dengan lirik yang ditulis sendiri oleh Bella.

Menurut Bella, Tapi Bukan Denganmu adalah karya yang sangat dekat di hatinya.

"Lagu ini begitu istimewa bagi saya kerana liriknya ditulis sendiri berdasarkan pengalaman peribadi. Tambahan pula, saya berpeluang bekerjasama dengan Sharon Paul, seorang komposer yang cukup berpengalaman," kata Bella.

Bella turut meluahkan rasa senang bekerja dengan Sharon, yang menurutnya sangat memahami dan terbuka terhadap idea-idea baharu.

"Kak Sharon seorang yang sangat sabar dan sentiasa menerima idea serta membantu semasa proses rakaman. Dia membenarkan saya menjadi diri sendiri dan ini membuatkan saya berasa sangat selesa sepanjang bekerjasama dengannya," jelas Bella.

Mengulas lanjut mengenai proses rakaman, Bella mengakui terdapat beberapa kali perubahan pada lirik lagu itu.

"Proses penulisan lirik mengambil masa yang agak lama kerana saya asyik mengubahnya. Namun, saya sangat berpuas hati dengan hasil akhir. Irama dan melodi lagu ini benar-benar memenuhi cita rasa saya," tambahnya lagi.

Lebih menarik, Bella turut terlibat dalam pengarahan video muzik untuk lagu tersebut. "Saya berharap lagu ini dapat menyentuh emosi pendengar dan menjadi lagu galau yang diterima ramai," ujarnya menutup perbualan.

Tapi Bukan Denganmu kini boleh didengari di semua platform digital bermula hari ini, manakala video muziknya boleh ditonton di YouTube.

TETITIA YUSOFF