KUCHING, 21 Julai- Tiga peserta terbaik dari zon Sarawak malam tadi mengesahkan tiket ke Separuh Akhir Bintang Kecil 2024 pada September depan.
Tiga peserta berkenaan ialah Fernandez yang mendendangkan lagu Pudar; Danish (Laguku Untukmu) dan Qaseh (Nirmala).
Persembahan mantap tiga peserta cilik itu menarik hati juri dan penonton.
Selain itu peserta turut diuji dengan persembahan duet dan trio.
Pada September depan, Separuh Akhir Bintang Kecil 2024 bakal menyaksikan persembahan dari tiga zon iaitu Sarawak, Sabah dan semenanjung sebelum ke kemuncak Bintang Kecil 2024.
Konsert berkenaan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Rita Elisha Mering bagi menyampaikan hadiah.
Tiga peserta terbaik yang akan mewakili zon Sarawak itu masing-masing menerima wang tunai RM3,000 serta piala.
Konsert berkenaan disiarkan di TV2 itu turut menyaksikan kehadiran lebih 600 penonton ke Auditorium P. Ramlee di sini bagi menyaksikan persembahan berkenaan dengan lebih dekat.
Konsert turut diserikan dengan persembahan artis terkemuka tempatan termasuk Baby Shima, Faris Malek, dan Juara Sape Junior 2024, Fazlina Fariz.
Pada 14 Julai lalu, enam peserta terbaik yang mewakili semenanjung turut akan ke Separuh Akhir Bintang Kecil 2024.
Peserta berkenaan ialah Puteri Azalia Mohd Taufik mewakili Perlis, Nur Ayu Raudahah (Negeri Sembilan) dan Megat Muhammad Galif (Kuala Lumpur), Ahmad Dhani Muslim (Terengganu), Nur Farina Farha (Selangor) serta Cinta Suci Indah Urmila (Johor).