fb fb fb fb fb

The Real Cromok bakal beraksi Disember ini

The Real Cromok

PETALING JAYA, 23 September - The Real Cromok bakal mempertemukan para gitaris legenda yang pernah memberikan sentuhan mereka dalam album 'band thrash heavy metal'.

Konsert anjuran Pointlink Ventures akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember ini menampilkan pemuzik, Hillary Ang dan Man Keedal.

Karl antara anggota terawal Cromo berkata, ia adalah sebuah malam bersejarah bukan saja buat Cromok, malah para peminat yang mengikuti perjalanan kumpulan itu.

Katanya, persembahan itu sememangnya telah lama dinantikan, terutamanya kemunculan semula Hillary yang menggantikannya pada 1999 dan sempat merakam empat album studio bersama Cromok, seawal album Mean, Meaner, Meanest.

"Ibarat sirih pulang ke gagang, kembalinya Hillary selepas 24 tahun untuk Konsert The Real Cromok pastinya dapat mengubati kerinduan peminat, apatah lagi dengan gandingan ikonik julung kali Karl-Hillary.

"Juga gandingan Karl-Man Keedal, buat pertama kalinya, yang bakal menghadiahkan momen bersejarah memandangkan Man Keedal langsung tidak pernah bermain secara live dengan Cromok sejak merakamkan gitar solo untuk lagu Misery bagi album 1993, Forever in Time," katanya dalam sidang media di sini.

Konsert malam itu akan diiringi Apis Cropox (dram), Shah Sidious (gitar) dan Archer (keyboard). Disokong oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd, konsert ini mendapat penajaan Sudoku Drums & Keyboards, JL Guitars, The Guitar Store, Cort Guitars, NEO In-Ear Monitors, HOT Kambing dan Gama Rock House, bersama-sama Mewah Event Management, Karl Legacy dan MyArteez sebagai rakan strategik.

Pembelian tiket untuk konsert boleh dibuat menerusi www.therealcromok.com atau hubungi 01113297822.

TETITIA YUSOFF