fb fb fb fb fb

"Tanpa Cinta" - Yovie Widianto & Tiara Andini kembali bergabung

"Tanpa Cinta" hadir dengan nafas baharu

Kuala Lumpur, 18 Mei – Komposer tersohor Indonesia, Yovie Widianto, kembali mengangkat karya lamanya berjudul "Tanpa Cinta" dengan nafas baharu melalui kolaborasi bersama penyanyi muda berbakat, Tiara Andini.

"Tanpa Cinta" mengisahkan tentang kekecewaan seorang insan apabila cintanya tidak berbalas dan terpaksa menerima hakikat bahawa orang yang dicintainya telah memilih orang lain. Lagu ini mengetengahkan perasaan sakit hati dan perjuangan untuk bangkit meneruskan hidup tanpa cinta.

Menurut Yovie, pemilihan Tiara untuk menyanyikan versi terbaharu ini sememangnya telah dirancang sejak awal. Tiara pula menyambut baik pelawaan itu dan mengakui amat menyukai lagu tersebut sejak kali pertama mendengarnya.

“Saya tidak fikir panjang untuk terima pelawaan ini. Tambahan pula ini adalah karya papa Yovie yang saya hormati,” ujar Tiara.

Dari segi susunan muzik, Yovie tidak melakukan perubahan drastik, sebaliknya mempersembahkan susunan melodi yang lebih segar dan manis. Video muzik "Tanpa Cinta" pula diarahkan oleh Prialangga dengan pendekatan visual teaterikal yang artistik dan menyentuh emosi, termasuk elemen tarian yang menambah kesan dramatik.

Yovie berharap lagu ini dapat dinikmati bukan sahaja sebagai karya nostalgia, tetapi juga sebagai lagu yang relevan dengan perasaan dan situasi cinta generasi masa kini.

Versi baharu "Tanpa Cinta" kini boleh distrim di semua platform digital, manakala video muziknya boleh ditonton di YouTube. Kolaborasi ini dijangka meraih sambutan hangat daripada peminat muzik tanah air dan serantau.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN