fb fb fb fb fb

Konsert Suara 34 Zon Selatan meriah

Siti Nordiana menampilkan persembahan bertenaga pada Konsert Suara 34 Zon Selatan malam tadi

JOHOR BAHRU, 18 Mei- Suasana di Auditorium Permata Sari, RTM Johor malam tadi bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh apabila Konsert Suara 34 membuka tirai siri jelajahnya di Zon Selatan dengan penuh kemeriahan.

Konsert anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 serta platform digital RTM Klik, menghimpunkan penonton dari pelbagai lapisan masyarakat yang hadir menyaksikan persembahan daripada barisan artis tanah air.

Menurut Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop, pemilihan Johor sebagai lokasi pertama jelajah adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik serta peranannya yang aktif dalam memartabatkan seni dan warisan tempatan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pendengar RTM yang terus memberikan sokongan, sama ada melalui siaran udara mahupun secara dalam talian.

"Selepas pembukaan malam ini di Zon Selatan, kami akan ke Sabah pada 24 Mei, diikuti empat zon lain dalam siri jelajah ini. Kepada semua pendengar kami sama ada melalui radio atau dalam talian, terima kasih atas kesetiaan anda. Teruskan bersama RTM, teman setia anda," katanya.

Antara barisan artis ditampilkan termasuk Datuk Amy Search, Siti Nordiana, Ramlah Ram, W.A.R.I.S, Zamani dan Nikki Palikat.

Siri jelajah Suara 34 akan diteruskan di Zon Sabah pada 24 Mei ini, bertempat di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kota Kinabalu.

Seterusnya, konsert akan menjelajah ke Zon Utara pada 14 Jun di Auditorium RTM Perak, diikuti Zon Timur pada 21 Jun di Auditorium RTM Pahang, dan kemudian Zon Sarawak pada 28 Jun di Dewan Tertutup Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Konsert kemuncak Suara 34 akan berlangsung di Zon Tengah, bertempat di Angkasapuri Kota Media pada 5 Julai depan, sekali gus menandakan penutup tirai bagi siri jelajah berprestij itu.

Menerusi pendekatan yang lebih kreatif, inklusif dan dekat di hati rakyat, RTM kekal komited dalam usahanya mendekatkan dunia penyiaran dengan masyarakat.

Suara 34 merupakan inisiatif khas RTM sebagai penghargaan buat pendengar setia 34 stesen radionya di seluruh negara atas sokongan yang berterusan sepanjang tahun 2024.

Ia bukan sahaja platform hiburan, malah menjadi manifestasi semangat kebangsaan yang diraikan melalui suara, budaya dan irama tempatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE