fb fb fb fb fb

Bintang Klasik RTM angkat martabat lagu lama, cungkil bakat baharu

Foto RTM

ALOR SETAR, 18 Mei – Pertandingan Bintang Klasik RTM bukan sekadar medan mencari bakat baharu dalam bidang nyanyian, malah menjadi wadah penting dalam mengangkat semula martabat lagu-lagu lama yang pernah mewarnai industri muzik tanah air.

Bekas Juara kategori Lelaki Bintang Klasik Nasional 2008, Mohd Azwan Shahdi Mohd Jalaludin, berkata inisiatif Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran Radio Klasik memberi impak besar dalam memelihara warisan muzik klasik, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Bintang Klasik ini bagus kerana ia mencungkil bakat-bakat muda. Kalau seseorang berumur 20 atau 30 tahun boleh menyanyikan lagu-lagu era 40-an hingga 90-an, itu satu perkara yang sangat membanggakan,” katanya ketika ditemui selepas sesi uji bakat peringkat Negeri Kedah di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim, Jalan Kuala Kedah, di sini.

Menariknya, minat terhadap lagu klasik turut diwarisi adiknya, Mohd Azami Syazami Mohd Jalaludin, 27, yang turut menyertai sesi uji bakat tersebut.

“Saya memang minat lagu-lagu klasik sebab ramai penyanyi legenda berasal dari zaman itu seperti Datuk Jamal Abdillah, Allahyarham Datuk Sudirman dan Tan Sri P Ramlee.

"Lagu-lagu mereka bukan saja dikenali di Malaysia, malah hingga ke luar negara,” katanya penuh semangat.

Sesi uji bakat itu berjaya menghimpunkan sekitar 20 peserta berusia antara 18 hingga 35 tahun yang mahu mengasah bakat nyanyian mereka dalam genre klasik.

Sementara itu, Penerbit Bintang Klasik RTM Kedah, Firdaus Moktar, berkata, pihaknya amat teruja melihat peserta muda mampu menyampaikan lagu yang bukan dari zaman mereka dengan penuh penghayatan.

“Ada peserta berusia 20 tahun mampu menyampaikan lagu Gelora Cintaku nyanyian Jamilul Hayat dengan sangat baik. Ini membuktikan minat terhadap lagu klasik masih utuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Penerbit Lokasi Bintang Klasik Zon Utara 2025, DJ Nadeeya, berkata pihak produksi mencari peserta yang bukan hanya memiliki vokal mantap, tetapi juga mampu menyuntik jiwa dan roh klasik dalam setiap persembahan.

“Kita mahu peserta betul-betul faham dan hayati semangat lagu-lagu klasik. Kualiti penyampaian, teknik vokal dan penghayatan adalah keutamaan,” katanya ketika ditemui di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD