CANNES, 21 Mei- Selepas 15 tahun menyepi daripada pentas festival antarabangsa, pengarah filem disiden Iran, Jafar Panahi, membuat kemunculan semula di Festival Filem Cannes dengan karya terbaharu yang menyentuh isu banduan politik dan layanan rejim terhadap mereka.
Filem berjudul It Was Just An Accident, yang kini bersaing untuk anugerah utama Palme d'Or, dianggap berani dan berpotensi menimbulkan implikasi undang-undang baharu kepada Panahi, seorang pengarah berusia 64 tahun yang terkenal dengan keberaniannya mencabar sistem pemerintahan Republik Islam Iran.
Panahi sebelum ini dikenakan larangan membuat filem selama 20 tahun dan telah beberapa kali dipenjarakan sejak 2009 atas karya-karya sosial realistiknya yang dianggap ‘subversif’ oleh pihak berkuasa. Beliau dipenjara hampir tujuh bulan di Penjara Evin yang terkenal di Tehran sehingga Februari 2023, dan pengalaman tersebut menjadi inspirasi kepada filem terbaharunya itu.
“Salah satu sifat rakyat Iran ialah humor. Rejim ini telah cuba selama lebih empat dekad untuk memaksa rakyat menerima tragedi, tangisan dan penderitaan. Namun, rakyat Iran tetap melawan dengan jenaka dan sindiran,” katanya kepada majalah Screen.
Walaupun larangan terhadapnya kini secara rasmi ditarik balik, Panahi mengakui beliau masih terpaksa bekerja secara rahsia dan tanpa pembiayaan kerajaan. Sumber terdekat dengan beliau memaklumkan kepada AFP bahawa filem ini juga dirakam secara sulit.
Cannes sememangnya terkenal dengan sokongannya terhadap pengarah bebas dari Iran, yang sering berdepan tekanan dan ugutan daripada pihak berkuasa negara mereka.
Selain Panahi, satu lagi filem Iran turut bersaing dalam pertandingan utama Cannes tahun ini, Mother and Child arahan Saeed Roustaee. Pengarah itu sebelum ini dipenjarakan selama enam bulan kerana menayangkan filemnya Leila’s Brothers di Cannes pada tahun 2022.
Bagaimanapun, filem baharunya kali ini menerima kritikan daripada sebahagian pengarah Iran di luar negara yang melabelkannya sebagai “filem propaganda”. Walau begitu, tiada kepastian sama ada mereka telah menonton karya tersebut secara menyeluruh.
Mohammad Rasoulof, pengarah Iran yang kini dalam buangan, tampil mempertahankan Roustaee. Dalam temu bual bersama Variety, beliau menegaskan wujudnya “perbezaan jelas antara filem propaganda dan filem yang dihasilkan di bawah tekanan penapisan.”
Turut mencuri tumpuan di Cannes ialah kehadiran pengasas WikiLeaks, Julian Assange, bagi tayangan perdana dokumentari mengenainya bertajuk The Six Billion Dollar Man, arahan Eugene Jarecki. Jarecki sebelum ini menerima Golden Globe dokumentari pertama di Cannes menerusi filem The King pada 2018.
Bekas Presiden Ecuador, Rafael Correa, yang pernah menawarkan suaka kepada Assange di Kedutaan Ecuador di London dijangka turut hadir bersama Assange di tayangan tersebut.
Festival Cannes kali ini juga disifatkan antara yang paling ‘politik’ dalam beberapa tahun, dengan pelbagai protes berkaitan perang di Gaza, isu jantina dan kenyataan Presiden AS, Donald Trump, berhubung tarif baharu ke atas filem luar.
Pada Isnin, bintang Hollywood Denzel Washington menerima penghormatan Palme d'Or seumur hidup dalam satu majlis yang turut disertai pengarah Spike Lee untuk tayangan perdana filem mereka Highest 2 Lowest.
Namun, suasana sedikit tegang apabila seorang jurugambar dilaporkan menarik lengan Washington ketika beliau bergambar, menyebabkan pelakon itu menepis dan dilihat memberi amaran tegas kepada jurugambar tersebut.
Walaupun berlaku insiden kecil, malam penghargaan Washington tetap diserikan dengan sambutan hangat terhadap filem baharunya itu, adaptasi bebas daripada karya klasik Jepun High and Low arahan Akira Kurosawa.
Hollywood Reporter memuji gaya dan tenaga filem itu yang dianggap “penuh gaya dan bertenaga, manakala The Guardian menyifatkan watak Washington sebagai mogul muzik dilakonkan dengan keyakinan penuh kuasa.
Festival Filem Cannes 2025 dijadual berakhir pada Sabtu ini.- AFP